5 TIPS SELAMAT AUDIT KASTAM

Teks: Hazwani Abd Hamid

Bismillah..



Pertanyaan dari Sis Norafidah Abdullah saya jawab dalam posting ini. 








Kena  audit atau tidak bukan bergantung kepada syarikat kita ada buat salah ataupun tidak. Istilah audit adalah mengenalpasti atau menyemak samaada rekod yang kita buat itu samada betul ataupun tidak mengikut kepada Akta-Akta yang terlibat.

Begitu juga Kastam, rekod yang dihantar dan disimpan mestilah mematuhi Akta GST 2014 dan pindaan-pindaan yang berkenaan. Jadi dibawah ini, saya kongsikan tips untuk kita berjaya harungi proses audit dari pihak Kastam.

5 TIPS SELAMAT AUDIT KASTAM

HANTAR BORANG & BAYAR GST AWAL

Tidak semua syarikat mempunyai tarikh akhir yang sama. Pastikan tempoh bercukai anda sama sepertimana yang pihak Kastam nyatakan di dalam surat awal pendaftaran nombor GST. Mengikut tempoh bercukai, pihak Kastam memberi masa kepada syarikat untuk membuat persiapan akhir selama 30 hari dari tarikh akhir penghantaran & pembayaran GST.

Sebagai contoh; Jika tempoh bercukai anda adalah Januari 2018 - Mac 2018, maka syarikat dikehendaki untuk menghantar borang sebelum 30 April 2018. 

Elakkan persiapan "last minute" semasa tempoh kecemasan berkenaan.

ELAK TUNTUT BELANJA PERIBADI

Memang pihak Kastam membenarkan syarikat untuk tuntut perbelanjaan keluar yang ada nilai GST, tetapi adalah tidak patut untuk anda tuntut segala macam perbelanjaan peribadi untuk mengurangkan GST kena bayar. Lagi banyak perbelanjaan kecil yang anda tuntut, lagi tinggi kesilapan merekod yang bakal berlaku.

Sebagai contoh; Anda tuntut pembelian perabot di IKEA yang sebenarnya adalah perbelanjaan perabot rumah yang bernilai RM1000, nilai GST dituntut adalah RM60. Ini adalah satu kesalahan kerana resit IKEA dikelaskan sebagai "Simplified Tax Invoice" iaitu anda hanya layak tuntut maksimum RM30 sahaja.

Jadi, tuntut perbelanjaan yang benar-benar perbelanjaan operasi perniagaan dan pastikan anda menerima "Full Tax Invoice" untuk tuntutan penuh.


INVOIS JUALAN TIDAK BERBAYAR

Invois jualan yang masih belum dijelaskan oleh pelanggan tetap perlu diisytiharkan pada tarikh yang berkenaan. Rule 21 perlu dipraktikkan oleh setiap syarikat supaya tidak dikenakan penalti yang lebih banyak jika disabitkan kesalahan.

Sebagai contoh; Invois dan perkhidmatan telah diberikan pada 14 Februari 2018 dan dibayar pada 01 May 2018. Maka, invoice tersebut perlu diisytiharkan pada tempoh bercukai Jan - Mac 2018 dan bukannya pada tempoh Apr - Jun 2018.

Ya! Kena bayarkan dahulu GST yang pelanggan belum bayar kepada kita sekiranya telah tamat tempoh bercukai yang ditetapkan.

JALAN KIRA GST SIMPAN ELOK-ELOK

Di dalam borang GST-03 hanya perlu dimasukkan jumlah besar Cukai Output & Cukai Input sahaja kan? Jadi menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan lampiran pengiraan disimpan rapi selama 7 tahun sebagai bukti yang pengiraan kita adalah betul.

Jika anda menggunakan pengiraan manual ataupun perisian perakaunan, pastikan anda menyediakan satu fail khas untuk anda cetak pengiraan GST bulanan atau suku tahunan untuk persiapan audit tersebut.


SEMAK, SEMAK & SEMAK

Tiga perkara penting yang terakhir adalah menyemak borang sebelum dihantar melalui online ke pihak Kastam. Antara perkara penting yang anda perlu semak adalah:
  1. Dokumen yang dituntut mestilah atas nama syarikat jika dituntut penuh
  2. Dokumen jenis "Simplified Tax Invoice" hanya boleh dituntut maksimum RM30
  3. Kod GST yang digunakan di dalam perisian perakaunan mestilah betul
  4. Nilai GST yang dituntut mestilah sama sepertimana di dalam dokumen asal.
Semoga perkongsian saya kali ini, dapat anda sebarkan untuk manfaat ramai pihak. Ilmu akan kekal jika kita sebarkan dan amalkan. Insya-Allah.

Bagi mereka yang masih banyak isu berkenaan GST yang dikelirukan dan mahukan saya menjawab persoalan anda secara terus, dialu-alukan untuk sertai Kelas GST ONLINE (sepanjang hayat). Email saya Nama FB dan no telefon anda di pn.hazwani@gmail.com untuk mendaftar. Yuran minimum akan dikenakan. Insya-Allah berbaloi dengan ilmu yang saya kongsikan di sana.

Jumpa lagi!

Post a comment

0 Comments