Persediaan Tutup Akaun Tahunan Syarikat

Teks: Hazwani Abd Hamid

Bismillah
Assalammualaikum & Salam Sejahtera

Bermulanya tahun 2015, juga bermakna bermulanya kesibukan untuk aktiviti tutup akaun syarikat. Ini kerana, majoriti syarikat sdn bhd mempunyai tarikh akhir yang sama iaitu 31 Disember. Mereka perlu tutup akaun sebagai persediaan sebelum akaun diaudit. Setelah diaudit, akaun tersebut akan diserahkan kepada SSM untuk simpanan dan kepada LHDN untuk pembayaran atau pengisytiharan cukai.

Lain pula ceritanya kepada syarikat kecil yang di bawah kategori pemilik tunggal dan perkongsian. Kesemua mereka wajib tutup akaun setiap 31 Disember setiap tahun dan isytihar cukai ke LHDN sebelum 30 Jun setiap tahun. Kegagalan berbuat demikian, mereka "berpeluang" mendapat "surat cinta" dari LHDN. Ini kerana pengisytiharan cukai adalah merupakan tanggungjawab semua peniaga yang berdaftar dengan SSM.

Di sini, saya akan kongsi 5 persediaan yang anda perlu buat sebelum tutup akaun. 
Antaranya:



DOKUMEN YANG LENGKAP 

Anda perlu memastikan dokumen anda lengkap supaya ianya boleh digunakan sebagai dokumen yang sah. Sebagai contoh; jika anda membuat pembayaran bil elektrik, bil tersebut perlu dikepilkan bersama baucer pembayaran atau slip transaksi bank. Begitu juga dengan pembayaran gaji dan pembayaran kepada pembekal, juga boleh ditambah dengan tandatangan pekerja atau pembekal tersebut sebagai bukti penerimaan pembayaran.


BUKU PERNIAGAAN WAJIB ADA

Untuk memastikan rekod anda boleh disediakan dengan cepat dan betul, anda perlu menyediakan buku perniagaan yang mencukupi. Kebiasaan peniaga kecil mempunyai masalah dalam menyediakan buku atau fail perniagaan yang lengkap. Ini disebabkan kekurangan kepakaran dan kesedaran tentang pentingnya buku perniagaan yang lengkap. Oleh itu, saya kongsikan antara buku perniagaan yang wajib ada dalam satu-satu perniagaan.
1. Penyata bank lengkap 12 bulan
2. Buku Jualan
3. Buku Belian
4. Buku Tunai
5. Buku Bank
6. Buku Penghutang
7. Buku Pemiutang


MEMILIH PERSONEL AKAUN

Kini ramai perniagaan memilih untuk mengambil perkhidmatan "freelancer" akaun untuk merekod perakaunan mereka sekaligus menutup akaun syarikat. Menutup akaun syarikat bermakna syarikat telah bersedia untuk isytihar pendapatan kepada LHDN dan menyerahsimpan akaun syarikat di SSM. "Freelancer" berfungsi bukan sekadar merekod akaun tetapi juga memastikan rekod syarikat dilengkapkan dengan betul dan bersedia untuk disemak oleh LHDN dan badan lain jika dikehendaki.


Bagi syarikat yang mempunyai personel akaun mereka sendiri, majikan perlu memastikan personel ini tahu mengenai "dateline" penting syarikat. Antaranya ialah juruaudit memerlukan jangkamasa audit 2 minggu ke 2 bulan untuk mengeluarkan laporan audit syarikat terutama ketika waktu puncak dan syarikat pula perlu menyerahsimpan laporan audit dan mengisytiharkan pendapatan di LHDN 6 bulan selepas akaun ditutup. 

DATELINE PENTING

Pemilik syarikat dan mereka yang diamanahkan oleh syarikat perlu sedar dan ambil tahu tarikh-tarikh penting syarikat, seperti kita mengingati tarikh kelahiran dan tarikh ulangtahun. Tarikh-tarikh ini ada kalanya berbeza kepada beberapa syarikat. Lihat lanjut tarikh di bawah:

SDN BHD
Dateline Audit dan LHDN: 7 bulan selepas tutup akaun
Dateline Pengarah (Borang BE): 30 April
Dateline Majikan (Borang E): 31 Mac

PEMILIK TUNGGAL & PERKONGSIAN
Dateline Pemilik Bisnes (Borang B): 30 Jun
Dateline Pekongsian (Borang P): 30 Jun


BAJET YANG MENCUKUPI

Proses dari tutup akaun, audit syarikat, pengisytiharan cukai ke LHDN dan serah simpan laporan audit ke SSM semuanya memerlukan peruntukan dana yang tertentu. Jika syarikat tidak membuat persediaan awal, ianya bakal membantutkan proses tersebut. Kesannya anda mungkin akan mendapat "surat cinta" dari SSM atau LHDN kerana gagal menunaikan tanggungjawab sebagai pemilik syarikat pada masa yang ditetapkan.

Berapakah bajet yang sesuai? 

MEREKOD AKAUN: Bergantung kepada jumlah transaksi anda. Ada yang caj mengikut penyata bank dan ada juga yang caj mengikut transaksi keseluruhan.

AUDIT: Minimum fee adalah berdasarkan jadual dari MIA yang merujuk kepada jumlah jualan syarikat. Ini hanya untuk Enterprise

EJEN CUKAI: Biasanya tetap tetapi ada juga yang merujuk kepada yuran audit yang dikenakan.

CUKAI BISNES: Jumlah cukai syarikat bergantung kepada jumlah pendapatan bercukai syarikat. Jika anda pemilik tunggal, anda tertakluk dibawah Akta Cukai Pendapatan iaitu mengikut jadual cukai pendapatan. 

Sekiranya anda ada syarikat sdn bhd yang mempunyai modal berbayar tidak melebihi RM2.5 juta, peratusan cukai adalah 18% daripada pendapatan bercukai RM500,000 yang pertama dan 24% untuk seterusnya.

Ambil tahu tentang bisnes anda dalam masa satu hari. Elakkan penalti dan sakit kepala di kemudian hari.


Semoga bermanfaat!


Post a comment

2 Comments

  1. assalamualaikum hazwani...
    thanks atas ilmu...mungkin awak boleh share jugak macam mana kite nak tentukan pembayaran pada client utk khidmat akaun yang kite berikan... kite nak charge base on what basis? baru nak terjebak jadi freelance account jugak...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam Dhya

      Alhamdulillah dan terima kasih kerana sudi singgah.
      Post terbaru menjawab kemusyikan anda, InsyaAllah => http://hazwaniabdhamid.blogspot.com/2015/08/asas-menentukan-harga-freelancer-akaun.html

      Delete