Kriteria Sebelum Tambah Aset Syarikat

Teks: Hazwani Abd Hamid

Bismillah.. Assalammualaikum..

Apa itu ASET? Secara ayat mudah, aset adalah sesuatu yang bernilai dimiliki dan dipunyai oleh sesebuah syarikat. Dalam perniagaan, aset mempunyai cara perekodan yang "istimewa" iaitu dari segi persembahan dalam penyata kewangan dan kesan cukai.

Aset juga mempunyai kitarannya, dari mula ianya diperolehi sehingga ianya dijual atau dilupuskan. Dalam membuat keputusan untuk memperolehi sesebuah aset, anda perlu membuat beberapa penilaian terlebih dahulu, antaranya:
  • Keperluan
  • Kos Efektif
  • Perbandingan Pembekal
  • Kos Penyelenggaran
  • Jangka hayat aset
KEPERLUAN

Tahap macammana kita rasa sesuatu ASET itu adalah keperluan? Apabila ianya tiada, proses perniagaan kita akan tergendala dan dengannya proses perniagaan kita akan sempurna. Jika aset tersebut hanya memudahkan tanpa memberi apa-apa kesan kepada jualan syarikat atau kemaslahatan syarikat mungkin ianya jatuh di kategori kehendak sahaja.

KOS EFEKTIF

Apakah kos yang kita mampu tawarkan untuk ASET tersebut? Adakah ianya berbaloi dengan harga yang dikorbankan? Lihat berapakah hasil yang bakal kita jana apabila kita dapatkan aset tersebut. Jika apa yang kita korbankan itu tidak memberi apa-apa kesan kepada hasil jualan maka ianya tidak kos efektif.


PERBANDINGAN PEMBEKAL

Sebagai peniaga yang teliti, anda perlu membuat perbandingan di antara beberapa pembekal dengan melihat apa yang ditawarkan seperti waranti, harga, maklumat barangan, caj penghantaran dan sebagainya. Perbandingan yang teliti akan memberikan ruang kepada peniaga untuk tawar-menawar dan membuat keputusan yang lebih tepat.

KOS PENYELENGGARAN

Dalam dunia yang serba canggih ini, maklumat amat mudah didapati. Dapatkan "review" dari mereka yang telah membeli ASET tersebut sebelum membuat apa-apa pembelian. Semak kos-kos yang bakal terlibat sepanjang penggunaan aset tersebut dan cawangan-cawangan pembekal yang boleh dipercayai untuk masalah yang bakal timbul.

JANGKA HAYAT ASET

Dengan membuat penilaian berkenaan jangka hayat aset, anda akan memperoleh aset yang benar-benar berkualiti dan mampu menjana pendapatan berulang kepada syarikat. Aset yang memberi masalah dan tinggi kos penyelenggaran, silap haribulan bakal menjadi LIABILITI kepada anda kerana perlu mengeluarkan kos atau belanja lebih daripada nilai keuntungan.


Jom kita lihat secara ringkas, apa itu ASET dan kitarannya? (Klik Image)





Semoga Bermanfaat & Selamat Berbisnes!


Post a Comment

0 Comments