Panduan Jika Tiada Resit

Teks: Hazwani Abd Hamid

Bismillah
Assalammualaikum & Salam Sejahtera

Saban hari hidup kita akan tidak lekang dengan urusan duit. Lebih-lebih lagi kehidupan di bandar besar, mahu keluar pun perlu bayar tol RM1. Pergi balik RM2. Itu belum lagi belanja minyak, masuk tandas, belanja parking dan belanja makan diluar. Pendek kata; semuanya duit. 

Begitu juga dalam bisnes, semua urusan kita akan seringkali melibatkan belian secara tunai dan kadang-kala tanpa dokumen lengkap, kita melakukan transaksi rasmi perniagaan. Tanpa dokumen lengkap, barangkali kita akan menghasilkan laporan keuntungan yang juga tidak lengkap dan tidak tepat.



Apa agaknya aliran yang betul dalam proses pembelian?

Sebutharga ==> Pesanan Belian ==> Pesanan Penghantaran ==> Invois ==> Pembayaran tunai/cek

Jika ianyanya melibatkan aktiviti pembelian yang ringkas ianya mungkin hanya seperti berikut:

Tanya harga ==> Setuju dengan harga ==> Menetapkan kuantiti ==> Pembayaran tunai

Maka, tiada dokumen yang terlibat. Tetapi sebagai peniaga anda wajib ada dokumen sebagai bukti:

1. Harga
2. Jenis Barang
3. Kuantiti
4. Tarikh

Jika tiada agaknya apa yang perlu anda buat?

Contoh situasi yang sukar untuk mendapatkan resit dan solusinya adalah seperti berikut:

PEMBELIAN SETEM

Kadang-kala pejabat POS tidak menyediakan resit untuk pembelian setem atau kita terlupa untuk minta resit. Kita boleh fotostat kepingan setem yang dibeli dan letakkan tarikh pembelian dan jumlah kos setem berikut.


BAYARAN TOL GUNA TOUCH & GO

Ramai yang tidak tahu mereka boleh minta resit sekiranya menggunakan kad TOUCH & GO. Bagaimana? Gunakan laluan yang ada penggunaan tunai dan TOUCH & GO serentak. Di situ ada penjaga tol yang boleh membantu anda mendapatkan resit tol ataupun anda boleh dapatkan penyata di laman sesawang mereka


KEDAI MAKAN DAN RESTORAN

Di sana kita boleh mendapatkan resit dengan hanya minta kepada juruwang. Mereka akan menyediakan resit samaada secara cetakan mesin atau tulisan tangan. Pastikan resit mereka lengkap dengan tarikh dan nama restoran.


PASAR MALAM

Situasi di pasar malam mungkin lebih sukar kerana jarang sekali peniaga pasar malam menyediakan resit sebagai bukti pembelian. Tetapi jika anda berdepan dengan situasi ini, anda boleh cipta resit anda sendiri seperti sekeping nota. 

Jenis barang, kos, tarikh dan di mana anda membelinya.

Usaha-usaha melengkapkan dokumen ini penting untuk anda jejak ketirisan dalam tunai syarikat. Lebih-lebih lagi fenomena perbankan yang memberikan kemudahan ATM kepada pemilik syarikat dan perbankan ONLINE yang boleh dilakukan tanpa dokumen kertas. 

Berusaha untuk membina satu aliran kerja yang dapat mengurangkan risiko kehilangan dokumen, pembayaran tanpa dokumen dan pengeluaran duit berlebihan tanpa kawalan. Ini secara tidak langsung akan memberi peluang untuk syarikat berkembang dengan sihat.


Semoga Bermanfaat!

Post a comment

0 Comments